Penjual Atau Pembeli Meninggal Sebelum Urusan Selesai

  • 8 years ago
  • 0

Kesan jika Penjual atau Pembeli meninggal sebelum sempat urusan Jual Beli diselesaikan

Jika Penjual Meninggal

1. Jika penjual meninggal dunia selepas perjanjian jual beli ditandatangani tetapi sebelum Borang Pindah Milik (Borang 14A) ditandatangani, maka urusan jual beli tersebut akan tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli itu. Terutamanya yang melibatkan tanah rizab melayu.

2. Selalunya dalam perjanjian ada menyatakan kematian mana-mana pihak sebelum sempurnanya sesuatu urusan jual beli tidak akan membatalkan perjanjian jual beli dan akan mengikat waris masing-masing, maka waris simati berhak untuk meneruskan perjanjian tersebut.

3. Walau bagaimanapun, sekiranya kematian berlaku selepas Borang Pindah Milik (Borang 14A) telah ditandatangani, maka urusan jual beli tersebut dari segi undang-undangnya masih boleh diteruskan dan pindahmilik masih boleh didaftarkan di pejabat tanah sebagaimana yang dinyatakan dalam S. 292(4) Kanun Tanah Negara 1956. Tarikh borang pindahmilik tersebut mesti sebelum berlaku kematian.

4. Apabila Pembeli telah membuat bayaran penuh harga belian, waris-waris hendaklah memfailkan permohonan pusaka dan perintah pentadbir harta untuk mengesahkan siapakah yang berhak mentadbir / menerima wang hasil jualan hartanah tersebu.

5. Biasanya pihak peguam terpaksa pegang segala wang bayaran harga jual beli hartanah tersebut, sehinggalah satu perintah pusaka dan pentadbir harta telah diperolehi yang mengesahkan tentang waris waris yang berhak menerima hasil jualan atau yang bertindak sebagai pentadbir kepada harta si mati.

Jika Pembeli Meninggal

1. Jika pembeli meninggal dunia selepas perjanjian jual beli ditandatangani tetapi sebelum Borang Pindah Milik (Borang 14A) ditandatangani, maka urusan jual beli tersebut akan tertakluk kepada peruntukan yang dinyatakan dalam perjanjian jual beli itu.

2. Sekiranya dinyatakan dalam perjanjian jual beli yang kematian mana-mana pihak akan menjadikan perjanjian jual beli tersebut secara otomatiknya terbatal, maka urusan jual beli tersebut dianggap terbatal. Sekiranya pembeli membeli hartanah secara tunai tanpa loan bank, perjanjian jual beli tersebut akan batal dan tidak akan diteruskan.

3. Segala bayaran / dokumen yang telah diserahkan oleh mana-mana pihak hendaklah dikembalikan kepada pihak yang satu lagi atau kepada warisnya melalui peguam.

4. Sekiranya dalam perjanjian menyatakan kematian mana-mana pihak sebelum sempurnanya sesuatu urusan jual beli tidak akan membatalkan perjanjian jual beli dan akan mengikat waris masing-masing, maka waris simati berhak untuk meneruskan perjanjian tersebut, tertakluk juga kepada kebenaran dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak bank/pembiaya (jika pembeli ambil loan).

5. Jika pembeli ada mengambil insurance, pihak insurance akan membayar harga hartanah jika berlaku kematian dan waris-waris hendaklah memfailkan permohonan pusaka dan perintah pentadbir harta untuk mengesahkan siapakah yang berhak mentadbir hartanah tersebut atau mentadbir/ menerima hartanah yang telah dibeli dan dipindahmilik tersebut.

Harap penjelasan ini merungkai kekusutan dan kekeliruan yang dialami. Jangan hubungi kami jika anda menghadapi masalah di atas. Bincang saja dengan peguam yang menguruskan perjanjian jualbeli tersebut untuk penyelesaian muktamad.

Share

Join The Discussion

Compare listings

Compare